Cinta Untuk Dinikmati Bukan Ditangisi

Titipan ini khas untuk kengkawan yang sedang asyik masyuk bercinta, kecewa ditinggalkan cinta dan sedang mencari atau menunggu cinta..

Cinta bukan untuk ditangisi tapi dinikmati.  Jadi, apabila cinta hanya akan menyebabkan anda membuang air mata maka tinggalkanlah cinta itu, sebab air mata yang tumpah pada detik ini logiknya akan berterusan jika anda berkahwin dengan insan berkenaan.  Cinta yang suci murni serta tulus-mulus tidak memerlukan air mata tapi tertawa ria.  Perhubungan yang harmoni penuh kompromi biasanya bergerak atas landasan yang tenang, lurus dan menuju matlamat; sebaliknya jika sengketa dan air mata mewarnai hari ia ibarat perjalanan yang tersekat-sekat oleh landasan yang bengkang-bengkok, tidak rata dan tidak menuju matlamat. 

Bergembiralah menyambut kehadiran cinta tapi sebaik saja ia menyebabkan hati anda gelisah serta tumpuan anda terhadap TUHAN dan tanggung-jawab kian menghilang, tinggalkanlah cinta itu dan binalah cinta baru.

Sebenarnya anda tidak perlu tergesa-gesa membina cinta.  Tiba masanya ia akan datang sendiri.  Sesuatu yang datang tanpa perlu ditagih biasanya lebih bertahan lama, ikhlas lagi jujur.

Jika cinta sudah datang, sambutlah seadanya kerana fitrah manusia memang mahu dicintai, mencintai, disayangi dan  menyayangi.  Tiada salahnya, hanya tak usah terlalu lentuk hingga banyak perkara menjadi sempit dan terbarai.

Cinta bagaikan Laila dan Majnun sudah tiada.  Kesetiaan cinta bagaikan Romeo dan Juliet hanya sesuai untuk zaman dahulu kala, tatkala tiada banyak sangat perkara perlu dihambat dalam hidup.

Zaman ini situasinya jauh berbeza, kita perlu membina kecemerlangan akademik untuk meletakkan diri kita sebaris dengan para cendekiawan; kita perlu membina sijil, ijazah, ijazah lanjutan dan Ph.D untuk bersaing dengan orang lain dari seluruh dunia.  Kita perlu memiliki semua kemudahan hidup yang dipanggil luxuries untuk mendapatkan penghormatan manusia dan keselesaan hidup.  Maka kita tidak boleh terlalu banyak membuang masa dengan cinta.  Cinta harus memotivasi kita untuk mengejar kejayaan bukan menjahanamkan kita dengan perlakuan-perlakuan sumbang.

Cinta harus menjadi booster kecemerlangan diri, betul ia tiket untuk rasa disayangi tetapi pada masa yang sama jangan sampai diheret perasaan untuk membenci diri sendiri.  Cinta yang terlalu dipentingkan akan menyebabkan manusia berjalan bengkok, pandangannya jadi keliru dan timbangtaranya selalu silap..

Cintailah seadanya…

…..sebahagian isi dari ‘Membina Rasa Cinta’ tulisan Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj

Leave a Reply